Sunday, October 9, 2011

Analogi Kehidupan Dan Nikmat Islam

Assalamualaikum wr.wb.

Setiap petang telah  menjadi rutin kepada pemilik pokok-pokok bunga untuk menyiram pokoknya yang kelihatan layu sebelum menjadi  segar bugar setelah disiram.
-Iman manusia juga begitu, kadang-kadang naik, kadang-kadang turun, maka penyelesaiannya ialah dengan sentiasa menyiram ilmu ke dalam dada agar Iman terus konsisten dan berkembang.
Dulu ketika zaman Hindustan sedang 'meletup' saban minggu pasti ramai yang tidak akan melepaskan peluang menonton filem-filem Hindustan.
Tiba-tiba pada suatu hari, cerita Hindustan yang ditayangkan tiada alih bahasa akibat masalah teknikal, maka kecewalah peminat-peminat Hindustan ini kerana mereka tidak dapat menghayati, memahami dan menitiskan air mata kerana tidak faham sebutir pun perkataan yang disebut di dalam cerita tersebut.
-Samalah juga dengan solat yang hanya akan menjadi ritual fizikal dan sebutan di hujung bibir sahaja jika tidak difahami maksud bacaan yang dibaca dalam solat.
Setiap pekakas, alatan atau segala jenis barang yang kita beli pasti disediakan buku manual bagi memastikan pengguna dapat memahami cara penggunaannya yang betul agar tidak mudah rosak ketika digunakan. 
-Allah S.W.T itu Maha Penyayang dan Maha Bijaksana. Dialah yang menciptakan manusia dan Dia jugalah yang menyediakan buku manual yang lengkap kepada kita iaitu al-Quran agar hidup kita sentiasa di jalan yang benar dan lurus.
Jika melalui Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, akan kelihatanlah bangunan KLCC yang tersergam indah dan berdiri kukuh walaupun ditiup angin ribut, hujan badai dan sebagainya kerana asas konkrit di bawahnya cukup teguh untuk menahan KLCC daripada segala rintangan yang dihadapinya.
- Islam merupakan sebuah agama yang kukuh dan sekiranya terpahat dalam diri seseorang, maka ia akan membentuk sebuah asas  yang paling kukuh dan terbentuklah sebuah peribadi Muslim yang sejati. 
Bagi mereka yang memakai kaca mata, saban hari ketika bangun sahaja daripada tidur, pasti kaca matalah  yang dicari terlebih dahulu agar mereka boleh melihat sekeliling dengan jelas.
-Maka, saban hari perkara pertama yang perlu dicari oleh setiap orang adalah Tuhan Penciptanya kerana itulah sebaik-baik tempat bergantung yang kekal abadi.
Mereka yang mempunyai kenderaan pasti akan menyelenggara kenderaan mereka, bergantung kepada jumlah milage yang tertera di meter atau keadaan kereta tersebut, agar kenderaan mereka dapat berfungsi dengan baik dan sempurna.
-Hebatnya Islam kerana Allah S.W.T telah menetapkan manusia agar mendirikan solat lima kali sehari untuk  menyelenggara hati yang sering alpa dan melakukan dosa serta bulan Ramadhan diwujudkan sebagai tempoh penyelenggaraan diri yang paling istimewa agar hati, akal serta nafsu manusia dapat beroperasi dengan baik serta menurut syariat yang ditetapkan Allah S.W.T sepanjang tahun.
Mengikut Akta perundangan jalan raya, pemakaian helmet telah menjadi satu kewajipan kepada penunggang motosikal agar keselamatan mereka terjamin dan mengelakkan daripada disaman pihak berwajib.
-Wanita muslim juga begitu, Allah S.W.T  telah menetapkan agar mereka memakai tudung yang menutupi hingga ke paras dada agar keselamatan mereka terjamin daripada dinodai mata-mata lelaki yang sentiasa liar.
Durian merupakan makanan kegemaran majoriti rakyat Malaysia, walaupun luarannya begitu tajam dan berduri tetapi ia mempunyai isi yang cantik berwarna kuning keemasan yang enak.
-Begitu jugalah seharusnya penilaian dibuat kepada seseorang. Nilailah seseorang menerusi sifat dalamannya bukan sekadar sifat luaran semata-mata yang boleh mengaburkan mata manusia.
Setiap model jam yang sama pasti mempunyai nombor siri yang berbeza bagi mempermudahkan urusan mengenal pasti model dan memperlihatkan kualitinya yang tinggi dan ekslusif.
-Manusia juga pasti berbeza sifat dan mempunyai pendapat yang berbeza walaupun mereka adalah kembar seiras. Bahkan, setiap individu turut mempunyai cap jari yang berbeza! Ini membuktikan ciptaan Allah itu begitu unik, tiada tolok bandingannya dan mempunyai kualiti yang tertinggi.
Bagaimana mungkin sebuah kapal terbang dapat terbang beribu-ribu kaki daripada paras laut dan mencecah awan jika tiada juruterbang yang mengawalnya? 
-Lihatlah perubahan cuaca, siang dan malam, pergerakan angin, pergerakan antara bulan dan matahari yang menerangi kehidupan kita, adakah semuanya boleh bergerak dengan sendiri tanpa ada Pencipta yang mengawalnya saban hari?
Manusia mencipta komputer yang semakin lama semakin kompleks sehinggakan yang terbaru wujud pula komputer nipis yang dipanggil Web Book. Bagi yang tidak berada di dalam bidang IT dan kejuruteraan mekanikal pasti akan pening memikirkan bagaimana teknologi begitu cepat berkembang sehingga mampu pergi ke tahap ini.
-Inikan pula penciptaan Allah S.W.T terhadap segala ciptaan di dunia ini, cukuplah dengan melihat diri kita sendiri, cukup hebat ciptaan Allah yang pasti tidak akan tercapai dek kecetekan akal yang dipunyai oleh manusia.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, serta pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah..." – Al-'Imran : 190


Description: Analogi Kehidupan Dan Nikmat Islam Rating: 5 Reviewer: Rizal ItemReviewed: Analogi Kehidupan Dan Nikmat Islam

0 comments:

Post a Comment

Mohon maaf komentar yang berisi spam dan kata-kata kotor akan kami hapus. Mari kita jaga etika dalam menulis komentar untuk kebaikan kita bersama. Terima Kasih...

Recent Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...